Kerjasama keselamatan melibatkan tiga pihak bagi melaksanakan rondaan dan pemantauan bersama udara dan maritim di Laut Sulu antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan dilancarkan di Bangao, selatan Filipina, Mei depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama tiga pihak itu bertujuan menangani cabaran keselamatan semasa di rantau ini termasuk jenayah rentas sempadan, ancaman kumpulan pengganas dan militan Daish.

"Ketiga-tiga negara bersetuju untuk mewujudkan kerjasama trilateral (tiga pihak) di Laut Sulu. Kerjasama ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga negara ini boleh duduk bersama seterusnya mencari kaedah terbaik dalam menangani isu keselamatan.

Kami juga akan melancarkan inisiatif maritim di Sabah dan inisiatif udara di Indonesia tetapi (tarikh) pelancaran seterusnya (akan diumumkan) di Filipina. Ketiga-tiga pelancaran akan diadakan dengan kehadiran menteri pertahanan dari ketiga-tiga negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Barat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-83 di Pangkalan TLDM Sepanggar, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Hishammuddin berkata kerjasama antara ketiga-tiga negara itu juga amat penting dalam memastikan keselamatan perairan negara ini terutama di pantai timur Sabah terjamin dan bebas daripada sebarang ancaman kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

"Semua maklum bahawa kumpulan Abu Sayyaf dan pihak militan berikrar baiah dengan militan Daesh. Justeru, kerjasama rapat antara ketiga-tiga negara jiran ini begitu penting bagi memerangi seterusnya menghalang ancaman tersebut," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata isu keselamatan negara khususnya di Sabah tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana pelbagai usaha dibuat bagi melindungi rakyat daripada sebarang ancaman.

"Kami di Kementerian Pertahanan telah melakukan pelbagai inisiatif termasuk menempatkan pelbagai aset pertahanan di Sabah untuk memastikan tiada mana-mana pihak menidakkan kedudukan maruah Sabah dalam Malaysia.

Semua (inisiatif dan aset) ini tiada kaitan langsung dengan politik kerana kita (kerajaan) mahu terus mempertahan setiap inci bumi Sabah," katanya.

Mengenai Markas Pemerintahan Armada Timur dan Barat, Hishammuddin berkata penubuhan kedua-dua markas itu amat penting bagi memastikan TLDM meningkatkan lagi keupayaan dalam melaksanakan penugasan operasi mengawal perairan negara.

-- BERNAMA