Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diwujudkan untuk memastikan warisan Melayu terus kekal dan relevan pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama itu penting untuk pemuliharaan, pengembangan dan pendidikan warisan Melayu sekali gus dapat memberi manfaat kepada semua penggiat industri yang terlibat.

"Pada hemat saya, NGO seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) boleh memikirkan bagaimana produk-produk yang berunsurkan warisan Melayu ini boleh dipasarkan baik di dalam dan luar negara.

"Secara tidak langsung, nilai ekonomi pada produk warisan Melayu ini akan melonjak dan industri tersebut boleh berkembang dengan lebih maju dan berjaya," katanya ketika berucap merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Norsaadah Ismail.

Jelas Muhyiddin, menerusi kerjasama tersebut, ia dapat menggalakkan usaha untuk memulihara warisan Melayu sebagai warisan penting dalam negara untuk dimanfaatkan generasi kini dan masa depan.

Beliau menarik perhatian, usaha-usaha ke arah mengembangkan seni dan warisan Melayu dapat menjadi wahana penting termasuk untuk kaum bukan Melayu bagi mengenali bangsa Melayu dengan lebih dekat lagi.

Menurutnya kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki setiap bangsa dan keturunan tidak akan menjadi faktor penghalang perpaduan, kemakmuran dalam sesebuah masyarakat majmuk.

"Ini sebaliknya menyumbang kepada kewujudan sebuah masyarakat yang mengenali khazanah budaya dan tradisi masing-masing dalam suasana yang harmonis," katanya.

Muhyiddin berkata, menerusi seni dan warisan Melayu, masyarakat dapat mengetengahkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan sejak zaman berzaman untuk dijadikan panduan generasi hari ini dan akan datang.

Menyentuh mengenai kongres hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia menjadi satu medan terbaik untuk merangka satu pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu di samping mengupas unsur-unsur positif dalam warisan sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu.

Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 yang bermula hari ini sehingga esok dianjurkan Perdasama dan UiTM sebagai platform menghimpunkan penggiat seni, cendekiawan, penggubal dasar dan pihak-pihak yang berkaitan untuk bermusyawarah bagi menghasilkan resolusi dalam memangkin keunggulan Warisan Seni Bangsa.

Antara objektifnya juga ialah menyatupadukan Melayu dan Bumiputera dari dalam dan luar negara melalui satu rantaian dengan mewujudkan Pusat Cerdik Pandai Ekonomi dan memelihara harta intelek Melayu dan bumiputera.

Sebanyak sembilan kertas kerja akan dibentangkan dan dua perbincangan diadakan sepanjang kongres ini berlangsung.