Kerjasama UMNO-PAS beri manfaat kepada penyatuan ummah - Ismail Sabri

Kerjasama UMNO-PAS beri manfaat kepada penyatuan ummah - Ismail Sabri
ISMAIL SABRI berkata kerjasama antara Umno dan PAS sekiranya dimaterialisasi akan memberi manfaat kepada penyatuan ummah. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Umno dan PAS sekiranya dimaterialisasi akan memberi manfaat kepada penyatuan ummah, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penyatuan dalam kalangan pimpinan politik beragama Islam, penting dalam memastikan kelangsungan Islam dan dasar berkaitannya di dalam negara boleh dicapai.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata hal mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu, terutamanya dalam pilihan raya, terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Setakat ini kita tak nampak pergaduhan antara Umno dan PAS, kalau benar boleh kita bekerjasama dengan lebih jauh, saya kira itu baik kerana kita bercakap tentang penyatuan ummah.

"Daripada kita bergaduh lebih baik kita bersatu," katanya semasa menjadi panel kluster politik di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan daripada peserta konvensyen yang mahu tahu sama ada Umno dan PAS perlu ada kerjasama politik.

-- BERNAMA