Kertas Putih “Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)” akan dibentangkan pada minggu terakhir persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Kertas Putih itu akan memperincikan beberapa perkara termasuk perancangan jangka pendek dan sederhana serta jangka panjang khususnya isu berkaitan hutang peneroka.

“Berkaitan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), ia telah diumumkan semasa pembentangan Bajet 2013 dengan sasaran 20,000 unit dalam tempoh lima tahun.

“Dinyatakan dalam bajet tersebut FELDA akan menerima RM1.5 bilion. Namun sehingga 2017, FELDA hanya menerima RM200 juta . Oleh yang demikian hanya 38 tapak dengan 8,314 unit rumah sahaja yang dapat diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat.

Ahli parlimen itu mahu tahu apakah status terkini Kertas Putih FELDA dan apakah rancangan tiga tahun pertama pemerintahan kerajaan baharu untuk menyelesaikan isu hutang peneroka FELDA, kejatuhan harga sawit dan masalah perumahan generasi kedua FELDA.

Ketika ini kata Mohd Radzi, 8 tapak yang merangkumi 1,498 unit rumah sudah disiapkan dan diduduki 792 peserta.

Manakala 706 unit lagi akan diserahkan selepas proses pemilihan diselesaikan.

“19 tapak yang mempunyai 5,082 unit rumah masih berjalan dengan kemajuan kerja yang perlahan. 11 tapak yang mempunyai 1,734 unit rumah terbengkalai dan diberhentikan,” tambahnya.

Beliau berkata 30 tapak yang bermasalah melibatkan 6,816 unit rumah adalah berpunca daripada kesan kewangan pada tahun 2016.

“Sekiranya baki 6,816 unit ini hendak disiapkan, FELDA memerlukan suntikan sebanyak RM711 juta,” katanya lagi.

Mengenai kejatuhan harga sawit, kementeriannya sedang dan telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan permintaan sawit Malaysia, dan seterusnya meningkatkan harga komoditi sawit.

“Dalam hubungan ini, FELDA berusaha untuk memastikan pengeluaran hasil sawit dari ladang FELDA berkualiti tinggi serta memenuhi 100 peratus syarat Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO),” ujarnya.