Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyerahkan kertas ringkas mengenai elaun kritikal anggota bomba kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, beliau menyerahkan kertas ringkas itu pada Khamis.

Beliau berharap dengan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, elaun kritikal itu dapat diluluskan dalam tahun ini juga.

“Saya dah serahkan semalam kerana saya tak boleh tunggu lagi tentang elaun kritikal ini. Saya harus percepatkan. Jadi kalau dapat Yang di-Pertuan Agong memberikan sedikit kata-kata kepada PM dan Insya-Allah dapat diluluskan dalam tahun ni, saya amat berbesar hatilah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pengurusan Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Dalam majlis sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, pada Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keprihatinan terhadap nasib anggota bomba dalam isu pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan yang sehingga kini belum dapat dimuktamadkan.

Zuraida berkata, kelewatan itu adalah disebabkan oleh pelbagai prosedur yang perlu dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ia dapat diluluskan.

“Saya memang (usahakan) sedaya upaya di peringkat Kabinet, di peringkat Perdana Menteri. Mereka harus melihat pula melalui JPA punya standard tu, kena lihat pula dengan jawatankuasa-jawatankuasa yang lain dan harus melihat secara menyeluruh.

“Tetapi saya minta keprihatinan itu kerana kerja bomba ni lain daripada kerja yang lain. Sebab itu bila pertemuan pertama saya dengan Yang di-Pertuan Agong, saya sebut tentang elaun kritikal,” ujarnya.