Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Melalui kenyataan SPRM pada Rabu, kertas siasatan juga sudah dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Kenyataan itu menjelaskan, terserah kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan terhadap kertas siasatan yang diserahkan.

Sekiranya, Peguam Negara berpuas hati, tindakan sewajarnya boleh diambil dan sebaliknya jika keterangan tidak mencukupi.

Ini selaras dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang mana kuasa mendakwa terdapat pada Peguam Negara.

Pada 6 Mei lalu, Guan Eng dan isteri Betty Chew dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

Pembelian banglo berharga RM2.8 juta itu menjadi kontroversi apabila dibangkitkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, dalam persidangan Dewan Rakyat.