Kertas Bahasa Melayu (BM) 1 dan 2 bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada Isnin (30 Sept) ini ditunda ke 9 Okt manakala kertas BM Komunikasi serta English for Communication pada hari yang sama bagi Pendidikan Asas Vokasional (PAV) ditangguh ke 3 Okt.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan yang dikeluarkan malam ini berkata, penangguhan itu dibuat kerana 29 dan 30 Sept 2019 diisytiharkan sebagai cuti peristiwa di Kelantan sebagai menghormati perkabungan kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Susulan kemangkatan Sultan Kelantan ke-28 itu awal hari ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan cuti peristiwa pada kedua-dua hari itu bagi Kelantan. -- Bernama