Kerugian bersih AirAsia X Bhd meningkat kepada RM229.89 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2019 daripada RM197.47 juta pada tempoh sama 2018 disebabkan kerugian akibat pertukaran asing sebanyak RM67.5 juta serta cukai tertunda RM71.76 juta.

Syarikat itu berkata bagaimanapun kerugian operasi bersih bagi suku berkenaan susut kepada RM69.46 juta berbanding RM205.23 juta pada tempoh yang sama 2018, didorong terutamanya oleh penerimaan insentif lapangan terbang dan harga bahan api lebih rendah.

Selain itu, susut nilai sebanyak RM138.2 juta telah diambil kira pada suku ketiga 2018, kata syarikat tambang rendah bagi penerbangan jarak jauh itu dalam kenyataan dengan Bursa Malaysia.

Sementara itu, perolehan bagi suku ketiga 2019 berkurangan kepada RM1.01 bilion daripada RM1.08 bilion yang dicatatkan tempoh sama 2018.

Bagi tempoh kewangan sembilan bulan, kerugian bersih AirAsia X meningkat kepada RM393.67 juta daripada RM213.43 juta pada tempoh yang sama tahun lepas manakala perolehan menokok kepada RM3.19 bilion daripada RM3.41 bilion.

Mengenai prospeknya, syarikat penerbangan itu berkata cabaran yang dihadapinya adalah daripada kelemahan ringgit berbanding dolar AS dan pelaksanaan levi pelepasan dari semua lapangan terbang Malaysia baru-baru ini, serta 'persaingan yang tidak rasional' dalam industri penerbangan tempatan.

"Bagaimanapun, syarikat dilindungi daripada turun naik harga bahan api memandangkan 86 peratus keperluan bahan api bagi suku keempat tahun ini telah dilindung nilai pada harga lindungi nilai Brent purata pada US$61 setong," menurut AirAsia X.

Ia berkata dalam mengharungi cabaran ini, AirAsia X giat memanfaatkan peluang perolehan dan melaksanakan disiplin kos untuk meningkatkan keberuntungan dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar.

"Faktor permintaan dan faktor muatan dijangka kekal pada tahap yang agak baik. Di samping itu, gembira apabila mengetahui tambang asas purata mencatatkan aliran meningkat tahun ke tahun pada suku keempat," menurutnya.

AirAsia X berkata pengurusannya terus berusaha untuk mengurangkan kos dengan pelaburan dalam pendigitalan sebagai sebahagian usaha meluas AirAsia Group yang dijangka dapat mengurangkan kos bagi jangka panjang.

"Syarikat menjangkakan prestasi kewangan keseluruhan suku keempat 2019 kekal agak baik dengan pengurusan komited untuk memastikan pertumbuhan mampan dalam keadaan industri penerbangan global yang mencabar," katanya.

-- BERNAMA