Tutup

Kerugian ekonomi akibat jerebu

Kerugian ekonomi akibat jerebu
Kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas Malaysia dan negara-negara lain menunjukkan kesan jerebu jelas memberi impak negatif kepada ekonomi. -Gambar hiasan
JEREBU yang melanda negara pada masa ini dijangka memberi kerugian kepada ekonomi.

Kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas Malaysia dan negara-negara lain menunjukkan kesan jerebu jelas memberi impak negatif kepada ekonomi.

Kerugian kepada ekonomi akibat jerebu boleh dinilai secara langsung dan tak langsung. Kesan secara langsung menilai impak jerebu ke atas kesihatan pekerja dan prestasi sektor-sektor ekonomi.

Cerapan awal oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di seluruh negara meningkat antara 20 sehingga 30 peratus akibat jerebu.
Hospital Shah Alam dilaporkan menerima pertambahan bilangan pesakit di antara 40 sehingga 80 orang semasa tempoh jerebu.

Di Malaysia keseluruhannya terdapat 42 hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan.
Andaikan setiap hari sebanyak 40 pesakit yang terdiri daripada pekerja terkesan akibat jerebu. Mengikut perangkaan produktiviti Malaysia, seorang pekerja menjana RM225 sehari kepada pendapatan negara.

Dengan mengambil perangkaan ini, negara berpotensi kehilangan pendapatan negara sebanyak RM378,000 sehari (40 x 42 x RM225) akibat daripada jerebu.

Untuk sektor ekonomi, jerebu lebih memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan. Bilangan pelancong dijangka akan berkurangan di sepanjang tempoh jerebu.

Kajian yang dibuat di Brunei contohnya menunjukkan jerebu mengurangkan kehadiran pelancong sebanyak 3.8 peratus dan ini mengakibatkan Brunei kehilangan sekitar 1 juta Dollar Brunei.

Sektor pelancongan di Malaysia lebih besar berbanding dengan Brunei dan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara. Jadi, fenomena jerebu ini pastilah memberi kerugian ekonomi yang signifikan.

Selain daripada sektor pelancongan, sektor perikanan juga terkesan akibat daripada jerebu.

Kesan tak langsung jerebu kepada ekonomi berlaku akibat daripada impak sektor-sektor ekonomi seperti pelancongan yang telah terjejas.

Penurunan kehadiran pelancong akan memberi kesan kepada perbelanjaan ke atas perniagaan perhotelan dan restoran, membeli-belah, dan pengangkutan.

Begitu juga, penurunan bilangan tangkapan ikan berpotensi meningkatkan harga ikan di pasaran. 

Kesan jerebu juga mendatangkan kesan positif kepada sektor berkaitan perubatan seperti peningkatan permintaan ke atas penutup muka dan ubat-ubatan.

Tetapi kesan positif ini adalah lebih kecil berbanding dengan kesan negatif akibat jerebu.

Kesan kerugian ekonomi yang dihuraikan di atas hanyalah sebahagian saja daripada kesan sebenar akibat jerebu.

Penilaian sebenar ke atas kerugian ekonomi akibat daripada jerebu perlu dilakukan untuk tujuan tindakan susulan.

Contohnya, jika Malaysia ingin menuntut kerugian kepada negara jiran dan syarikat-syarikat berkenaan, maklumat berkaitan dengan kerugian ekonomi perlulah disediakan terlebih dahulu.


Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari ialah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.