Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu kehilangan hasil perikanan negara bernilai RM6 bilion setahun disebabkan oleh pencerobohan nelayan asing diatasi dengan segera.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI sedia membantu agensi-agensi berkaitan dari segi pengunaan teknologi dan inovasi bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, antara peralatan yang boleh digunapakai bagi tujuan tersebut termasuk teknologi radar, satelit dan dron.

"Kita memiliki sumber teknologi yang boleh membantu operasi pengawasan perairan negara daripada dicerobohi nelayan asing terutama di kawasan berdekatan garis sempadan yang sentiasa menjadi tumpuan aktiviti penangkapan ikan haram," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Kuda Laut hari ini bersama-sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Said dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Tambah beliau, nelayan-nelayan asing juga sering menjadikan 155 kawasan pelantar minyak di perairan pantai timur sebagai lokasi menangkap ikan dan ia secara tidak langsung mendatangkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, MOSTI turut bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada nelayan-nelayan tempatan terutamanya dalam pengunaan teknologi dan inovasi terkini bidang perikanan.

"Saya yakin pengenalan kepada pengunaan teknologi dan inovasi terkini dalam bidang perikanan mampu menghasilkan pulangan lebih lumayan kepada nelayan tempatan," tambahnya.