Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK) susulan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya masih perlu menunggu pemakluman rasmi sebelum sebarang tindakan dibuat.

“SPR mengambil maklum kekosongan kerusi DUN N.23 Chini dan perlu menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Pahang sebelum mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau pada masa sama turut merakankan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun atas kembalinya Allahyarham awal pagi tadi.

BACA: ADUN Chini Abu Bakar Harun meninggal dunia

Allahyarham dilapor meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan berita pemergian Abu Bakar menerusi muat naik status di akaun Facebook rasminya pagi ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dari PKR dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, calon PAS.

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU ke-11 pada 2004.

Chini adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.