Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, wujud beberapa siri pertemuan dengan orang kuat Barisan Nasional (BN) sebelum pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2010.

Pertemuan diatur ahli perniagaan, Jho Low dengan yang turut menyediakan talking points kepadanya.

Ahli Parlimen Kota Belud yang juga merupakan anggota PAC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah salah seorang yang dikatakan mengajar Shahrol mengenai persiapan untuk menghadapi soalan-soalan sepanjang pendengaran PAC.

Tujuannya kata Shahrol, adalah untuk mengurangkan atau meremehkan peranan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low dalam 1MDB.

Bagi sebab kedua adalah bagi menunjukkan ia adalah serangan politik terhadap perdana menteri.

Matlamat sama turut dilakukan pada sebelum pendengaran PAC tahun 2015, di mana pada ketika isu 1MDB mula memuncak.

Menurutnya, beberapa siri pertemuan telah diadakan sebelum dan selepas pendengaran PAC termasuk pertemuan di kediaman Datuk Farid Ridzuan, bekas penasihat imej Najib.

Sepanjang mesyuarat berkenaan, beliau memberitahu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Ariffin ketika itu turut kelihatan di kediaman itu.

“Mesyuarat dan pertemuan itu adalah bagi menyediakan saya dengan soalan-soalan dan perbincangan yang dibincangkan melibatkan laporan (PAC),” ujarnya lagi.

Apabila ditanya pendakwa raya siapa orang atasan Farid Ridzuan, Shahrol mengatakan Najib.

Sepanjang berada dalam 1MDB, beliau memberitahu lebih 10 kali pertemuan diadakan bagi tujuan mendapatkan panduan daripada pihak berkaitan.

Shahrol merupakan saksi pendakwaan kesembilan dalam empat kes pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.