Tutup

Kes 1MDB: Shahrol setuju jaminan kerajaan untuk TIA sebelum masa Najib

Kes 1MDB: Shahrol setuju jaminan kerajaan untuk TIA sebelum masa Najib
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-18 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dana 1MDB. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa jaminan kerajaan untuk Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) adalah pada masa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu turut bersetuju, idea jaminan kerajaan telah berlaku sebelum masa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-18 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dana 1MDB.

Muhammad Shafee merujuk kepada satu minit mesyuarat Kabinet semasa Abdullah, yang merujuk kepada jaminan kerajaan untuk TIA.

Dokumen itu menyatakan bahawa RM5 bilion akan dibangkitkan oleh bon dengan jaminan kerajaan manakala RM6 bilion akan disokong oleh hasil minyak Terengganu.

Shahrol Azral turut menyokong kenyataan Muhammad Shafie yang berkata, ia semata-mata untuk kepentingan negeri Terengganu dan bukan Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Muhammad Shafee menjelaskan dalam nada spontan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low beruntung kerana menjadi Penasihat TIA tanpa sebarang bayaran.

Bagaimanapun, Shahrol Azral berkata, ia bukan sesuatu yang pelik kerana Jho Low pernah memberitahunya, dia tidak menerima bayaran kerana kerana ahli perniagaan itu mewakili kerajaan negeri Terengganu sebelum mewakili Kerajaan Persekutuan.

Pada Isnin, Shahrol Azral memberitahu, ada orang dalam UMNO yang mempunyai 'perasaan dengki' terhadap pengaruh dan akses Jho Low kepada Najib.

Katanya, Jho Low mahu penglibatannya dalam 1MDB tidak menonjol supaya tidak menggugat kedudukan Najib dalam UMNO.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan dibuat di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.


Tag: Najib Razak, Jho Low, Muhammad Shafee Abdullah, Abdullah Ahmad Badawi, UMNO, 1Malaysia Development Berhad, 1MDB, Perdana Menteri, mahkamah, menteri, pelaburan, kabinet, CEO, Shahrol Azral Ibrahim Halmi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.