Hari ini genap 17 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan bermula 10 Jun 2020.

Antara pencapaian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ialah dengan membawa Malaysia menjadi antara negara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi kadar penyembuhan kes COVID-19.

Ini antara perkongsian menarik KKM pada hari ini:-
Pada masa sama, KKM mengesahkan kes baharu satu digit pada Jumaat iaitu sebanyak enam kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara sebanyak 8,606 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiada penularan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan.

"Daripada enam kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

"Satu kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia, iaitu kes saringan tempat kerja di Kuala Lumpur," tambahnya lagi.