Situasi semasa berhubung penularan COVID-19 di Malaysia hari ini dikongsi menerusi kenyataan media Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan tersebut memaklumkan sebanyak 127 kes jangkitan COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya direkodkan di negara ini setakat Khamis.

Dalam perkembangan sama, jumlah kes baharu di negara ini kekal dua angka selepas 14 kes dikesan hari ini.

Berikut adalah tumpuan perkembangan semasa COVID-19, setakat Khamis:

1. 127 kes sembuh dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya sebanyak 8,000 kes atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

2. 14 kes baharu yang telah dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar. 11 kes penularan dalam negara, tujuh kes bukan warganegara manakala empat kes dalam kalangan warganegara.

3. Kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

4. Sehingga 18 Jun, sebanyak 13,149 individu menjalani persampelan di depoh tahanan Imigresen. Sebanyak 782 kes dikesan positif, manakala 11,564 adalah negatif dan 803 masih menunggu keputusan.

5. Daripada jumlah kes positif, tujuh kes dalam kalangan warganegara manakala 775 adalah bukan warganegara.