Empat pelajar sebuah sekolah berasrama penuh, di sini yang dipercayai terlibat dalam kes buli seorang pelajar tingkatan tiga sehingga menyebabkan mangsa sukar membuang air kecil dikenakan hukuman buang sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, tujuh lagi pelajar yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu akan digantung antara seminggu dan dua minggu.

Katanya, kesemua pelajar terbabit berusia 15 hingga 17 tahun.

"Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah bermesyuarat dan mencadangkan empat pelajar tersebut diberhentikan manakala dua lagi pelajar digantung seminggu dan lima lagi digantung dua minggu.

"Laporan lengkap beserta dengan keputusan mesyuarat telah pun diangkat ke pihak pengurusan sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro Awani di sini,hari ini.

Tambah beliau, ibu bapa pelajar terlibat juga telah dipanggil serta diberi taklimat berkaitan keputusan yang akan dikenakan oleh pihak pengurusan sekolah.

Difahamkan pada 4 November lalu, mangsa berusia 15 tahun telah dipukul dengan keadaan matanya diikat dengan kain pelikat oleh sekumpulan pelajar yang didalangi seorang pelajar tingkatan lima.

Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berpunca daripada kes kehilangan wang di asrama sekolah terbabit.

Mangsa mengalami kesan lebam dan calar di seluruh badan selain disahkan mengalami kesukaran membuang air kecil akibat kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian merusuh melibatkan pelajar dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.