Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu laporan polis yang dibuat berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Allahyarham Nazrin Hassan adalah atas ketidakpuasan hati keluarga berhubung hasil bedah siasat pertama.

Saksi ke-18 Dr Abdul Aziz Hassan, 59 tahun, yang merupakan abang kepada Allahyarham Nazrin menjelaskan wujudnya percanggahan hasil bedah siasat dengan hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

BACA: Kes bunuh CEO Cradle Fund: 'Saya putuskan hubungan dengan Samirah' - Abang ipar

Aziz
: Tidak lengkap, selepas saya dimaklumkan handphone tidak meletup dan disebabkan khianat dan jumpa kesan petrol di dalam bilik.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP): Jadi anda mengatakan laporan tidak lengkap selepas mengetahui perenggan dua belas.

Aziz: Saya merasakan tidak puas hati selepas Samirah (Muzaffar) memaklumkan kepada saya, blast injury tapi apa yang dimaklumkan media bukan kerana phone meletup. Semua orang berfikir bahawa telefon meletup disebabkan blast injury.

Hakim: Apa Samirah katakan kepada awak?

Aziz: Dia mengatakan cause of death was blast injury.


Aziz: Pada masa itu tidak ada sebab saya bersyak wasangka kepada Samirah sebab kematian Nazrin.

DPP: Tetapi sebelum ini Samirah ada memberitahu di rumah, Dr kata terima apa yang diberitahu.

Aziz: Apa yang saya terima sebelah dia (Samirah) mengatakan kemungkinan besar telefon meletup menyebabkan kebakaran. Apa yang tuan tanya saya, kenapa saya tidak berpuas hati dan setuju post mortem kedua dijalankan.

BACA: Mayat CEO Cradle Fund ditemui di penjuru katil dan berdarah - Saksi

Aziz: Kenapa saya putuskan hubungan sebab she’s (Samirah) the main suspect. Soalan kedua yang anda tanya pula, Bomba mengatakan tidak meletup walhal post-mortem pertama mengatakan blast injury. Ini percanggahan yang perlu disiasat lebih mendalam.

Jelas Aziz, ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, persetujuan bedah siasat kedua dijalankan selepas berbincang bersama keluarga.

Malah keluarganya turut membuat laporan polis berhubung percanggahan fakta hasil siasatan yang dikeluarkan pada 2 Ogos, 2018.


DPP: Post-mortem kedua telah dijalankan, adik beradik telah bersetuju dan Abang anda Dr Malek Hassan membuat laporan polis, apa isu kandungannya?

Aziz: Laporan polis dibuat sebab ketidakpuasan hati dan hak keluarga terhadap post-mortem pertama dan meminta post-mortem kedua dibuat semula.

Samirah sebelum ini mendedahkan laporan bedah siasat ahli Patologi Kanan di HKL mengesahkan mendapati kematian suaminya akibat komplikasi letupan dan kecederaan penembusan tumpul.

Prosiding perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung semula Khamis depan.

Pada 12 Mac lepas, Samirah yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) , dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, bertanggungjawab dalam kematian Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun, 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.