IPOH: Reman sepasang suami isteri disambung enam hari lagi membantu siasatan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, reman itu bermula esok hingga 28 Mei depan.

Bagaimanapun, katanya, kertas siasatan kes tersebut dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, esok.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan pasangan suami isteri itu direman tujuh hari sehingga hari ini

Perintah reman ittu dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

Terdahulu pada 15 Mei, polis menahan sepasang suami isteri di Ipoh bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak yang disyaki didera.

Pasangan berusia 40 tahun itu merupakan ibu dan bapa saudara yang merupakan penjaga mangsa.

Penahanan mereka dibuat ekoran satu laporan polis dibuat pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 3.14 pagi, 15 Mei lalu.

Berdasarkan laporan itu, pihak hospital menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan Melayu berusia 8 tahun yang dibawa oleh ambulans dan telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi.

Pemeriksaan ke atas badan mayat didapati terdapat kesan-kesan cedera, disyaki akibat didera dan bedah siasat yang dijalankan pakar patologi, Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah kecederaan berbilang akibat objek tumpul. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.