Empat sekeluarga ditahan reman semula selama tujuh hari bagi kes pembunuhan lain yang membabitkan salah seorang daripada empat individu di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.

Perintah tahanan itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak yang bermula hari ini dan berakhir 12 Nov.

Kesemua suspek direman semula bagi kes pembunuhan seorang lelaki berumur 54 tahun bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan, dilapor hilang pada 15 Jun 2014.

Sebelum ini, empat sekeluarga yang terdiri daripada suami, 57, isteri, 54, serta dua anak lelaki yang masing-masing berumur 20 dan 17 ditahan reman selama empat hari bermula 27 Okt dan berakhir 30 Okt lepas.

GALERI FOTO: Pembunuhan sadis di Tapah


Reman disambung semula selama empat hari serta berakhir semalam untuk siasatan lanjut bagi kes bunuh membabitkan seorang pekebun dan ejen hartanah, Jasbeer Singh, 46.

Terdahulu, keempat-empat suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap diiringi beberapa anggota polis pada pukul 8.10 pagi.

Bagaimanapun 45 minit kemudian, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk tangkapan semula bagi kes bunuh di Tapah sebelum kembali ke mahkamah pada pukul 9.45 pagi.

Perkarangan luar mahkamah dipenuhi orang awam yang mahu melihat wajah empat sekeluarga itu termasuk seorang anak lelaki suspek yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, Mahkamah Majistret Tapah turut memerintahkan dua anak perempuan suspek diletak di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perintah itu dikeluarkan selepas membenarkan permohonan JKM bagi melindungi dan menempatkan anak suspek yang berusia 11 tahun di JKM Kuala Kangsar dan 23 tahun di JKM Ipoh.

Pada 26 Okt lepas, polis menahan keempat-empat suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada pukul 1.30 tengah hari, susulan laporan kehilangan mangsa lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas.