Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung penahanan seorang wartawan dan seorang jurukamera agensi berita asing kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal Gua Musang di Kelantan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana sudah menjadi ketetapan bagi mana-mana individu untuk mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum memasuki hutan simpan tersebut.

"Tindakan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk menahan wartawan berkenaan kerana peraturan telah ditetapkan iaitu orang awam perlu mempunyai permit masuk sebelum memasuki hutan simpan tersebut.

"Mereka dibawa oleh anggota Jabatan Perhutanan ke pejabat untuk diambil keterangan. Apabila kertas siasatan dan ulasan daripada pegawai dari Jabatan Perhutanan siap, ia akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sama ada wajar untuk diambil tindakan undang-undang atau tidak," katanya.

Beliau berkata kepada Bernama selepas majlis makan malam sempena program perjumpaan rasmi dan juga sambutan Tahun Baru Cina bersama warga kementerian itu di Jalan Putra, di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri.

Semalam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menahan seorang wartawan dan seorang jurukamera agensi berita asing kerana disyaki menceroboh, dua wartawan itu adalah warganegara Malaysia dan didapati bersalah kerana berada dalam kawasan hutan simpan itu tanpa kebenaran.

Siasatan juga mendapati wartawan berkenaan mempunyai Pas Media Jabatan Penerangan yang tempohnya telah tamat pada 2013 dan tidak diperbaharui.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengucapkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina di negara ini dengan harapan mereka akan sentiasa dilimpahi rezeki dan merayakannya dengan penuh kegembiraan.

Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan tarian singa dan paluan gendang serta cabutan bertuah.

-- BERNAMA