Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes positif COVID-19 di negara ini akan terus meningkat.

Ia selepas sejumlah 153 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu sekaligus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,183 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sepanjang tempoh 24 jam yang lalu juga, terdapat dua kematian berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Malah, daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Jelasnya, Perintah Kawalan Pergerakan perlu dipatuhi sepenuhnya untuk memastikan keupayaan perubatan di negara ini mampu menampung pertambahan kes harian.

“Setakat ini kita lihat lebih kurang 100 kes, paling tinggi melibatkan 190 kes sehari. Hari ini kita ada 153 kes baharu dan kita jangka mungkin akan ada pertambahan.

“Kalau Perintah Kawlaan Pergerakan berjaya, ia akan mendatarkan kadar kes. Maksudnya, kita akan ada kes juga tapi bukan dalam kadar yang mendadak sekaligus hospital kita ada keupayaan untuk merawat.

“Tapi kalau kita dapat kes yang mendadak, contohnya setiap hari kita dapat dalam 1,000 atau 2,000 kes, kapasiti kita hanya 3,000 kes sahaja,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihati mereka yang tidak sihat serta mempunyai gejala untuk mendapatkan rawatan dan khidmat konsultasi segera.