Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula terhadap kes cubaan rogol yang melibatkan seorang pengawal keselamatan sebuah institut pengajian tinggi (IPT) awam di negeri ini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan tarikh baharu daripada peguam tertuduh yang diwakili Shahlan Jufri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Arshad Madin, 26 tahun, melakukan cubaan rogol itu di dalam bilik asrama mangsa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada pukul 12.30 tengah malam, pada 15 Julai lalu.

Tertuduh, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di universiti itu dituduh telah secara paksa menanggal dan mengoyakkan baju mangsa melibatkan seorang wanita yang berusia 18 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hafiz Lokman.

Rustam memberitahu mahkamah, dokumen bicara telah diserahkan untuk prosiding, bagaimanapun, pihak pendakwaan masih menunggu laporan penuh daripada jabatan kimia.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendak disebat jika sabit kesalahan.

Pada 26 Julai lalu, Arshad diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan merogol mahasiswi UMS dalam kejadian pada Julai lalu.

Sebelum ini, kes berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai maklum balas dari orang ramai terutama dari alumni UMS sendiri.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak UMS pada 13 Ogos lalu, pihak UMS juga tidak akan berkompromi dengan kakitangan atau mahasiswa universiti yang didapati melakukan sebarang salah laku yang melanggar undang-undang terutamanya salah laku yang berunsur jenayah.

Sejak laporan itu dibuat, Pengurusan UMS telah memberi kerjasama dan menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk proses siasatan dan dakwaan sewajarnya.