Perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak disambung hari ini.

Datuk Seri Najib ketika memberi keterangan bela diri menjelaskan bahawa beliau tidak menguruskan akaunnya sendiri malah tidak mengetahui berhubung wang RM32 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadinya.

Jelasnya perkara itu akan dimaklumkan oleh individu yang mengendalikan akaun bank miliknya.

Malah tambah Najib, pihak bank juga seharusnya memaklumkan kepadanya sebagai pemilik akaun berhubung transaksi wang keluar dan masuk yang mencurigakan.

Beliau berkata demikian ketika soal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram.

Prosiding hari ini menyaksikan pihak pendakwaan turut membangkitkan kesahihan tandatangan bekas Perdana Menteri itu dalam dokumen SRC.

Sithambaram: "Ketika kamu dalam siasatan SPRM, kamu ditunjukkan satu salinan dokumen mengandungi tandatangan kamu. Kamu mengesahkan tandatangan itu tanpa sebarang bantahan pada peringkat itu?"

Najib: "Pada peringkat itu."

Sithambaram: Jadi selepas duduk di Mahkamah dan mendengar pemeriksaan balas oleh peguam kamu, kamu katakan ini bukan tandatangan kamu?."

Najib: "Benar"

Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan salah satu pertuduhan salahguna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.