Kes demam denggi meningkat 56 kes (4.7 peratus) pada minggu ke-47 tahun ini, dengan 1,257 kes dilaporkan dari 20 hingga 26 Nov lepas, berbanding 1,201 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat lapan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sarawak, Kedah dan Sabah.

"Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 26 Nov 2016 adalah 94,337 kes, penurunan 13.6 peratus (14,829 kes) berbanding tempoh sama tahun 2015 yang melaporkan sebanyak 109,166 kes," katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.

Menurutnya dalam tempoh 20 hingga 26 Nov juga, terdapat enam kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di Malaysia dari Januari sehingga 26 Nov kepada 220 kematian berbanding 296 kematian pada 2015 iaitu pengurangan sebanyak 25.7 peratus.

"Lokaliti wabak dan hotspot juga menunjukkan pengurangan pada minggu ke-47 berbanding minggu sebelumnya iaitu 374 lokaliti wabak dan 37 lokaliti hotspot," katanya.

Mengenai situasi Zika, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan laporan terkini dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 Nov lepas, terdapat 75 negara yang melaporkan jangkitan Zika.

"Di Malaysia pula, bilangan kes positif Zika yang dilaporkan dari 1 Sept sehingga 28 Nov 2016 masih kekal tujuh," katanya.

Menurutnya pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 26 Nov lepas, turut mendapati keputusan ujian negatif bagi 1,589 sampel darah dan air kencing yang telah diuji daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika. -- Bernama