Kes denggi di Johor meningkat pada tujuh minggu pertama

Kes denggi di Johor meningkat pada tujuh minggu pertama
Faktor peningkatan kes denggi adalah kurangnya kebersihan persekitaran kawasan kediaman di samping faktor cuaca panas dan hujan yang menggalakkan pembiakan nyamuk aedes. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Kes denggi di negeri ini dilihat membimbangkan dengan peningkatan mendadak kepada 1,492 kes bagi tempoh tujuh minggu pertama tahun ini berbanding 776 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata peningkatan sebanyak 92.27 peratus itu menjadikan Johor negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Bagi tempoh empat minggu pertama tahun ini, sebanyak empat kematian dilaporkan dengan tiga kematian di Johor Bahru dan satu di Batu Pahat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Iskandar, dekat sini, hari ini.

Pada tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak dua kematian direkodkan sementara bagi tempoh sepanjang tahun lepas, 20 kematian direkodkan.
Menurut beliau, faktor peningkatan kes denggi adalah kurangnya kebersihan persekitaran kawasan kediaman di samping faktor cuaca panas dan hujan yang menggalakkan pembiakan nyamuk aedes.

"Masyarakat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu peka tentang kebersihan khususnya kawasan yang mudah bertakung untuk mengelakkan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Justeru itu, pihaknya merancang untuk mempelbagaikan kempen kesedaran terutamanya melalui media massa.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata kira-kira 14,000 Kad Sihat Johor bakal diedarkan kepada pemohon yang layak tahun ini membabitkan golongan B40.

Beliau berkata pelaksanaan Kad Sihat Johor terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori A (keluarga) dan kategori B (individu) masing-masing bernilai RM500 dan RM200 setahun dengan had penggunaan sebanyak RM50 bagi setiap rawatan.

"Pemohon boleh memuat turun borang Kad Sihat Johor secara atas talian di www.majusihat.com.my. dan bagi pemegang kad tahun lalu juga perlu membuat permohonan baharu bagi mendapatkan Kad Sihat Johor," katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 200 klinik panel yang terpilih di seluruh Johor untuk kemudahan pemegang Kad Sihat Johor.

-- BERNAMA

Tag: aedes, nyamuk, denggi, pesakit, mangsa


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.