Pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan sekumpulan lelaki, dengan seorang daripada mereka mengeluarkan parang, bukan merupakan isu perkauman, sebaliknya berkaitan satu kes penipuan.

Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata kejadian berlaku di Padawan, Sarawak, melibatkan seorang individu yang didakwa menipu sekumpulan lelaki dengan menjanjikan habuan lebih kepada mereka jika menang loteri.

"Kumpulan lelaki itu telah mencari suspek sejak beberapa hari lepas dan sebaik terserempak dengan suspek mereka cuba menahannya.

"Tindakan mengepung suspek tidak menjadi masalah… tetapi yang menjadi masalah, kenapa salah seorang daripada mereka perlu membawa parang?" katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Rabu.

Menurut KPN, polis sedang berusaha mengesan individu yang membawa parang tersebut kerana tindakan itu merupakan satu ugutan jenayah, satu kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.



Tambah Abdul Hamid, polis juga telah menahan dua lelaki tempatan kerana cubaan menipu dalam kes berkenaan.

"Saya menyeru kepada orang ramai agar jangan cepat percaya hasutan dengan mengatakan kejadian itu berbaur perkauman, sebaliknya ia berlaku secara kebetulan," katanya lagi.