Beberapa pemimpin DAP dilihat mula hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Antara yang hadir ialah bapanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran; dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan sekali lagi akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.

Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula.

Pada Ahad 26 Julai lalu, Setiausaha Agung DAP itu hadir ke ibu pejabat SPRM untuk kali ketiga bagi memberi keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau meninggalkan bangunan SPRM pada jam 7 malam ditemani Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer selepas lapan jam memberi keterangan.

Pada 7 Julai lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir ke SPRM Pulau Pinang untuk memberi keterangan bagi projek berkenaan.

Pada 3 Julai, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan terhadap siasatan projek itu.

Katanya, kertas siasatan dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya tindakan lanjut.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.