Kes HFMD di Kedah meningkat 32.4 peratus

Kes HFMD di Kedah meningkat 32.4 peratus
Norhizan meminta ibu bapa atau pengasuh yang mengesyaki anak di bawah jagaan mereka mempunyai tanda jangkitan HFMD supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan. - Gambar fail
ALOR SETAR: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kedah meningkat sebanyak 32.4 peratus atau 834 kes sehingga 7 Julai lalu berbanding 630 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata sehingga kini daerah Pendang mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 120.7 peratus diikuti Langkawi (118.8 peratus) dan Kuala Muda (105.3 peratus).

Meskipun, terdapat peningkatan kes namun tiada Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah ditutup di negeri ini kerana tiada jangkitan serius atau kematian dilaporkan, katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata bagi menghalang penularan virus HFMD, orang ramai perlu memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut.
Selain itu, katanya, pengusaha premis taska, pusat jagaan perlu membuat saringan di pintu masuk bagi menasihatkan kanak-kanak yang ada gelaja jangkitan supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengelak jangkitan kepada kanak-kanak lain di premis berkenaan.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Saya nasihatkan ibu bapa berwaspada dengan penyakit ini kerana sehingga kini tiada vaksin atau ubat untuk mencegah jangkitan HFMD," katanya.

Beliau berkata, HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71) dan merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis.

Beliau meminta ibu bapa atau pengasuh yang mengesyaki anak di bawah jagaan mereka mempunyai tanda jangkitan HFMD supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

Di samping, katanya, mereka perlu memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa mereka ke tempat awam.

-- BERNAMA