Bilangan kes kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka meningkat hampir 50 peratus iaitu sebanyak 1,446 kes sejak Januari hingga Rabu lalu berbanding 795 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Exco Kesihatan Negeri, Low Chee Leong berkata meskipun trend menunjukkan peningkatan, namun wabak berkenaan di negeri ini masih terkawal walaupun terdapat beberapa prasekolah dan taska ditutup setelah dikesan berlaku penularan wabak itu.

"Justeru, Jabatan Kesihatan negeri meningkatkan langkah kawalan dan pencegahan di samping memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi memastikan penyakit itu tidak terus menular," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di Rumah Melaka, Bukit Katil, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ghazali Othman dan Ketua Unit Tabung Darah, Hospital Melaka, Dr Noramiza Mat Amin.



HFMD merupakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Sementara itu, Dr Ghazali turut menyeru ibu bapa dan pengusaha premis taska serta tadika agar menitikberatkan aspek kebersihan dalam usaha mencegah jangkitan HFMD.

"Kita juga ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD, agar tidak menghantar anak mereka ke sekolah dan tempat terbuka bagi mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noramiza berkata Jabatan Perubatan Tranfusi menyasarkan untuk mengumpul 30,000 unit beg darah menerusi kempen derma darah yang dianjurkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan tahun ini.

Beliau berkata setakat ini Hospital Melaka sudah mengumpul 15,942 unit beg darah sehingga Rabu lalu.

"Kebiasaannya setiap bulan kita memperoleh kira-kira 2,500 unit beg darah dan sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan tahun lepas pihak kami berjaya mengumpul 30,440 unit beg darah menerusi pendekatan yang sama," katanya.

-- BERNAMA