Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah sebagai suspek dalam siasatan kes pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Merdeka Palace, Kuching dan di Kensington, London.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki menolak dakwaan yang menyatakan bahawa tangkapan Mohd Isa hanya sebagai saksi dan bukan suspek bagi kes tersebut.

"Jika anda ditahan, ini bermakna anda adalah seorang suspek.

"Apabila individu ditangkap dan kemudian direman, ini bermaksud individu itu adalah di bawah siasatan," kata Azam ketika ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah peringkat Kementerian Luar Negeri di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Datuk K.Kumaraendran yang mengetuai pasukan peguam yang mewakili Mohd Isa berkata penahanan itu adalah bagi membantu siasatan dan bukan sebagai suspek kes itu.

"Saya rasa mungkin ada yang perlu belajar kajian jenayah," kata Azam ketika mengulas kenyataan peguam Mohd Isa.

Pada Ahad, Mahkamah Majistret membebaskan bekas pengerusi Felda itu selepas direman lima hari sejak Rabu lepas.

Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding itu membenarkan Mohd Isa, 68, dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin.