Polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk menyelesaikan siasatan kes kematian seorang banduan lelaki dipercayai dipukul dengan objek tumpul di Penjara Pusat Kepayan, di sini pada 4 Oktober lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata selepas siasatan dijalankan, baharulah perbincangan dibuat dengan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat dan semua suspek masih ditahan untuk membantu siasatan.

"Tidak, tidak boleh andaikan peranan mereka (suspek) 100 peratus terlibat sebab siasatan masih lagi dijalankan," katanya pada sidang media mengenai rampasan dadah di sini, pada Khamis.

BACA: Warden, pegawai ditahan kes banduan mati dalam penjara

Beliau diminta mengulas perkembangan siasatan kes itu yang mana polis telah menahan 10 warden penjara dalam siasatan dijalankan.

Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata dua lagi warden penjara ditahan pada Selasa lepas untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Habibi berkata kedua-dua warden penjara itu direman hingga 25 Oktober ini manakala lapan tangkapan terdahulu, reman akan disambung semula selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, lapan warden penjara telah ditahan bagi membantu kes kematian banduan lelaki itu.

Banduan berusia 36 tahun yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan Penjara Pusat Kepayan, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan.

Bagaimanapun doktor di HQE 1 mengesahkan banduan terbabit meninggal dunia.

-- BERNAMA