Prosiding perbicaraan kes Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menyaksikan saksi kelima dipanggil untuk memberi keterangan petang ini.

Norsalwani Mohamad, 52, yang juga Pengarah Tadbir Urus Jabatan Audit Negara membaca keterangan bertulis selepas diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam keterangannya, Norsalwani yang dilantik sebagai Koordinator Pasukan Pengauditan Khas 1MDB pada 9 Mac 2015 mengesahkan sebanyak 60 buah Laporan Akhir Audit 1MDB telah dicetak pada 20 Februari 2016 dan siap sehari selepas itu.

Saksi kelima itu turut memberitahu mahkamah sebanyak enam naskah draf telah diambil dan diberikan kepada bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang manakala baki empat naskah disimpan di peti keselamatan Jabatan Audit Negara pada 22 Februari 2016.

Menurut Norsalwani, enam naskah yang diberikan kepada bekas Ketua Audit Negara itu telah diserahkan sendiri oleh Tan Sri Ambrin kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, dan bekas Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa serta Datuk Dzulkifli Ahmad dari Jabatan Peguam Negara.

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa salinan laporan audit yang lain telah dimusnahkan atas arahan bekas Ketua Audit Negara atas prosedur pelupusan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan (CGSO).

BACA: Rakaman audio 2 jam 40 minit mesyuarat di Putrajaya didedah

BACA: Najib arah saya pecat Gani Patail - Ali Hamsa

BACA: Muhyiddin dipecat kerana persoal 1MDB - Ali Hamsa


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan jika disabitkan kesalahan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Arul Kanda juga boleh dikenakan hukuman yang sama jika didapati bersalah oleh mahkamah.

Mahkamah menangguhkan prosiding dan akan disambung semula esok.