Kes Liwat II: Barisan pembelaan teruskan hujahan persoal sampel DNA

Kes Liwat II: Barisan pembelaan teruskan hujahan persoal sampel DNA
Prosiding rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat. - Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari kedua hari ini.

Prosiding hari ini dimulakan pada jam 9.42 pagi.

Ia dimulakan dengan peguambela Anwar, N. Surendran menyambung dan merumus hujahnya semalam mengenai kewujudan konspirasi tertentu yang digunakan dan menjejaskan kredibiliti hujah dan bukti pihak pendakwa sepanjang proses perbicaraan Anwar.

Selepas Surendran merumuskan hujahnya, tiba giliran peguambela Sangeet Kaur Deo untuk mengemukakan pula hujahannya.

Dalam penghujahannya sekitar 9.50 pagi, Sangeet mengulangi hujahan yang Saiful adalah saksi yang tidak boleh dipercayai dan mempersoalkan cara bagaimana sampel DNA diperolehi.

Sangeet memberitahu panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria mengenai  keraguan kaitan antara DNA dan barang bukti yang digunakan dalam pendakwaan terhadap Anwar.

Barang bukti yang disebutkan itu ialah berus gigi, tuala muka dan botol air.

Antara lain, Sangeet mempertikai kaitan tersebut berdasarkan rekod anggota polis yang mencatat pergerakan Anwar ketika dalam tahanan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan yang diambil daripada anggota polis terbabit, tidak direkodkan secara jelas tentang penggunaan barang bukti tersebut oleh Anwar.

Sangeet memetik keterangan tersebut yang menyatakan bahawa anggota polis itu hanya 'mendengar' Anwar memberus gigi, dan bukannya 'melihat'.

Sangeet juga menekankan tentang kegagalan pihak pendakwa mengaitkan bukti DNA yang diambil dari dubur Mohd Saiful Bukhari dengan DNA yang diambil daripada barang bukti berkenaan.

Sehingga jam 10.50 pagi tadi, penghujahan Sangeet masih berlangsung dan perkara seperti tangkapan tanpa waran dan barang bukti yang diambil secara paksa turut disebutkan.

Sangeet juga membangkitkan berkaitan sampel DNA dari barang kes dan dubur Saiful yang dikatakan sepadan dengan 'Lelaki-Y' sebelum ini.

Mahkamah katanya tidak pernah mengaitkan DNA 'Lelaki-Y' itu dengan Anwar dan ia boleh menjadi milik sesiapa sahaja.

Selepas sesi rehat sebentar pada jam 11.10 pagi, Sangeet  menyambung hujahnya tentang isu waran tangkap pula.

Dia menyifatkan penggunaan waran tangkap asal semasa perbicaraan terhadap Anwar sebagai tidak mengikut saluran undang-undang.
Sehubungan itu, ia membawa kepada penahanan dan pengambilan barang bukti secara salah bagi digunakan dalam mahkamah.

Sangeet turut membentangkan kepada sidang mahkamah mengenai siri dokumen yang tidak diterima pihak pembelaan.

Menghuraikan perkara itu, Sangeet menyatakan bahawa tiada sebab permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen tersebut ditolak.

Ia perlu bagi memastikan keseimbangan perbicaraan yang saksama bagi kedua-dua pihak pendakwa dan pembelaan.

Pada jam 12.20 tengah hari, peguam Ramkarpal Singh meneruskan hujah dengan menekankan aspek saintifik mengenai sampel DNA yang dilabel sebagai 'Lelaki-Y'.

Menurutnya, pihak pendakwa gagal untuk membuktikan bahawa sampel itu ialah Anwar.

Sampel tersebut, kata Ramkarpal, masih tidak diuji sepenuhnya.

Dalam situasi tertentu, selain daripada mengenal pasti dan mengesahkan kod DNA dalam sesebuah pembuktian kes, mahkamah juga perlu mengambil kira pada faktor-faktor persekitaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Ramkarpal secara terperinci menghuraikan tentang status sesuatu DNA layak untuk diterima pakai sebagai bahan bukti.

Sidang prosiding rayuan kemudiannya ditangguh untuk rehat tengah hari dan disambung pada jam 2.40 petang.

Peguam dari pasukan pembelaan Anwar, Ramkarpal Singh menyambung hujahnya berkaitan kredibiliti bahan bukti yang digunakan pihak pendakwa dari aspek teknikal dan saintifik.

Antara yang diperjelaskan dalam pembentangannya adalah mengenai cara pengambilan dan pengendalian DNA, keberkesanan ujian DNA, kualiti dan kuantiti, faktor degradasi, serta proses Reaksi Berangkai Polimerase (PCR).

Berkenaan pengambilan sampel pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Ramkarpal berkata bahawa 12 sampel telah diambil daripada Mohd Saiful untuk diuji pakar kimia, Dr Seah Shueu Feng dari Hospital Kuala Lumpur.

Namun, Ramkarpal memberitahu, Shueu Feng tidak dapat mengesahkan kuantiti sampel tersebut dan tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Rekod berkenaan juga tidak diberikan kepada pihak pembelaan.

Persoalan tentang integriti sampel DNA Mohd Saiful semasa ia diambil, ketika ia disimpan dan cara ia dikendali dan diproses turut ditimbulkan.

Hari kedua prosiding rayuan kes liwat membabitkan DSAI berakhir jam 5.35 petang tadi dengan hujah daripada Ramkarpal Singh yang masih belum selesai menyentuh soal teknikal dan saintifik, terutamanya tentang kredibiliti sampel DNA.

Ketua Hakim, Tun Ariffin Zakaria sempat memintas Ramkarpal dengan bertanyakan tentang panjang penghujahan tersebut lalu memintanya membuat rumusan.

Ramkarpal, yang membawa penghujahan setebal 147 muka, akan menyambung sesi penghujahannya esok pada sebelah pagi sebelum diteruskan sesi hujah balas daripada pihak pendakwa yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Begitupun, Muhammad Shafee memohon supaya sesi pembentangan hujahnya dilanjutkan sehingga Jumaat.

Ariffin memberi indikasi membenarkan pelanjutan itu.

Untuk esok, pihak pendakwa akan membentangkan hujah bukan saintifik manakala pada pagi hari Jumaat, Muhammad Shafee memerlukan dua jam untuk menyampaikan hujah saintifik berkenaan sampel DNA tersebut.

Dalam sesi sepanjang hari ini, beberapa kenalan Anwar dan wajah pemimpin Pakatan Rakyat dilihat hadir mengikuti prosiding, antaranya Sasterawan A. Samad Said, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Barisan peguambela Anwar diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram bersama 13 peguam yang lain yang terdiri dari Eric Paulsen, Ramkarpal Singh, N. Surendran, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Rayuan didengar di hadapan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penghujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Sebelum itu lebih 300 orang penyokong Anwar mula berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman, bagi memberikan sokongan kepada ketua pembangkang itu sejak pagi lagi.


Anwar tiba sekitar 8.57 pagi, disambut dengan sorakan oleh penyokong-penyokongnya.


Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada penyokongnya sejurus tiba di mahkamah pagi ini - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR




Keadaan juga seakan tidak terkawal pada jam 9 pagi tadi apabila Anwar tiba di Mahkamah Kehakiman, Putrajaya.

Anwar yang keluar dari kereta dari jalan utama kemudiannya berjalan sejauh 200 meter bagi memasuki kawasan mahkamah dari pagar belakang.

Keadaan bertambah riuh apabila beliau berhenti bersalaman dengan penyokong dan dikerumuni oleh pihak media.

Anwar Ibrahim
Antara penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba melepasi halangan namun berjaya dikawal oleh anggota polis. - Foto Bernama

Ada antara penyokong Anwar yang cuba untuk memasuki kawasan mahkamah dan kekecohan timbul apabila ada segelintir daripada mereka menolak pagar sekatan dan menjerit kepada pihak polis supaya pagar itu dibuka.

Bagaimanapun, keadaan adalah terkawal dengan lebih ramai anggota polis ditempatkan di situ.

Keadaan kembali seperti biasa setelah Anwar memasuki mahkamah.

Sementara itu turut hadir di kawasan mahkamah hari ini adalah penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mula berkampung di luar Mahkamah Persekutuan pada jam 08.00 pagi tadi.

Dianggarkan  lebih 150 penyokong Saiful hadir.

Anwar Ibrahim
Kelihatan anggota polis berkawal di hadapan penyokong Mohd Saiful yang berkumpul pada Rabu - Foto Astro AWANI/SYAFIQUE SHUIB

Ramai yang hadir memakai baju-T berwarna kuning dengan tulisan "Justice for Saiful". Mereka turut membawa sepanduk dengan tulisan yang sama.

Mereka berhimpun sekitar 500 meter dari tempat perhimpunan penyokong Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim
Sepanduk dan paparan  "Justice for Saiful" antara yang dibawa oleh penyokong Saiful pagi tadi - Foto Astro AWANI / SYAFIQUE SHUIB

Susulan itu juga, pihak Polis memasang pagar besi bagi mengasingkan kumpulan penyokong Penasihat PKR itu dan Mohd Saiful di hadapan Istana Kehakiman.

WARTAWAN DIBALING TELUR KETIKA BUAT LIPUTAN KES ANWAR

Kedua-dua penyokong dipisahkan besi penghadang sepanjang 500 meter pada bahagian sebelah kiri dan kanan bangunan sebagai langkah memastikan tiada sebarang insiden yang tidak diingini.


Presiden Pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan berkata kehadiran penyokong Mohd Saiful Bukhari terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan dan orang awam.

"Kedatangan kami untuk membuktikan kepada Saiful yang kami rakyat Malaysia bersamanya dalam menghadapi kesulitan ini," katanya ketika ditemui.

Beberapa penyokong Anwar turut mengadakan majlis bacaan Yasin di kawasan mereka berkumpul.






BERITA LANJUT MENYUSUL