Seorang pegawai undang-undang direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes liwat ke atas seorang remaja lelaki.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.

Suspek yang berusia 34 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut kepada seorang remaja yang berusia 18 tahun semasa kejadian.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan pada sekitar Disember tahun lalu di sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu.


Difahamkan, suspek berkenalan dengan mangsa di sebuah stesen bas untuk membeli vape.

Suspek ditahan di Kuantan, Pahang kira-kira jam 11.30 pagi pada Rabu sebelum dibawa ke Kuala Terengganu untuk ditahan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.