SEPANG:Polis mengklasifikasikan penemuan satu mayat rentung di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan semak di Kota Warisan, Sepang awal pagi semalam sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, yang memaklumkan perkembangan kes itu kepada media di sini hari ini, berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, beliau berkata kes itu belum dapat diklasifikasikan kerana masih menunggu keputusan bedah siasat yang dilakukan hari ini di Hospital Serdang bagi mengetahui punca kematian.

BACA: Polis temui mayat rentung di dalam SUV terbakar

Dalam insiden pada kira-kira 3.30 pagi semalam, seorang lelaki menghubungi polis selepas terdengar bunyi letupan dan telah bergegas ke lokasi kejadian berhampiran Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre Kota Warisan.

Wan Kamarul Azran berkata saksi itu, yang tinggal di asrama kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian, melihat api marak di kawasan hutan berhampiran.

Beliau berkata pasukan pomba dan penyelamat dari Bandar Baru Salak Tinggi telah berjaya memadam kebakaran itu, yang membawa kepada penemuan mayat di bahagian penumpang hadapan.

Katanya hasil pemeriksaan pada nombor chasis kereta yang hangus itu mendapati ia milik seorang lelaki berbangsa India.

-- BERNAMA