Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) bagi menyelesaikan masalah membabitkan pelajar seperti isu ditampar guru yang berlaku di Tanah Merah, Kelantan, pada Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata isu seperti itu tidak perlu campur tangan kementerian untuk menyelesaikannya.

Menurut beliau, kementerian membenarkan pihak sekolah dan PPD mengambil apa jua langkah terbaik dalam menyelesaikan isu terbabit.

“Saya ingat biar selesai di Kelantan sahaja. Saya tidak perlu ulas sebab hal ini melibatkan sekolah dan guru ini; pengetua dan guru besar dan juga PPD bertanggungjawab. Jadi saya serahkan kepada mereka di sana,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perayaan hari guru dan jamuan Aidilfitri peringkat daerah Padang Terap di Dewan Tun Syed Ahmad, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Kuala Nerang.

Majlis turut dihadiri setiausaha politik kepada menteri kewangan, Datuk Ghazali Ibrahim dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Padang Terap, Ahmad Lateh.

Dalam kejadian pada Selasa, jam 8.30 pagi, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Siti Nursyahida Zulkifli mendakwa dirinya ditampar di belakang kepala oleh seorang ustazah sebanyak tiga kali ketika perhimpunan sekolah selepas menafikan mencukur keningnya.

Ekoran kejadian, dia dirujuk ke hospital dan dimasukkan ke wad pada Sabtu kerana mengalami kecederaan kronik di bahagian lehernya.