Lebih RM4.7 bilion ringgit telah disalahgunakan dalam membayar hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi International Petroleum Investment Co (IPIC).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata jumlah pecah amanah itu adalah antara pertuduhan yang dibuat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa di mahkamah hari ini.

“Enam pertuduhan hari ini melibatkan penyalahgunaan wang kerajaan Malaysia dan pertuduhan ketiga hingga keenam itu melibatkan bayaran kepada IPIC.

“Ini sudah disahkan oleh para peguam ketika prosiding tadi,” kata Azam ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah selepas prosiding pertuduhan Najib dan Mohd Irwan.


BACA: Pecah amanah: Najib, Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan

Kata Azam lagi pertuduhan pertama dan kedua yang melibatkan pecah amanah sejumlah RM1.85 bilion melibatkan kontrak yang diberikan kepada syarikat luar negara.

Beliau turut mengesahkan pertuduhan keenam, iaitu pecah amanah sejumlah RM2 bilion wang milik kerajaan Malaysia melibatkan penjualan tanah Kementerian Kewangan pada Disember tahun lalu.