Prosiding bagi 21 kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa dalam dana 1Malaysia Development Berhad akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membenarkan kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Keputusan hakim itu dibuat selepas tiada bantahan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Peguam Havinderjit Singh berkata permohonan dibuat kerana terdapat isu-isu dalam kes perbicaraan dan lebih baik kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 20 September lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Najib juga tidak mengaku bersalah ke atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Ketika ini, pengurusan kes bagi tujuh pertuduhan membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. sedang didengar di mahkamah yang sama.