Undang-undang Malaysia membolehkan Paul Stadlen, yang pernah menjadi penasihat media kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran) berhubung dakwaan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar bagaimanapun berkata, ia perlu ada pra syarat, termasuk bidang kuasa mahkamah yang boleh menjalankan perbicaraan.

“Berdasarkan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, ada beberapa syarat diperlukan ketika mahkamah menjalankan perbiacaran.

“Bagaimanapun, pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan hukuman mati, pemenjaraan seumur hidup dan pemenjaraan seumur hayat,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Seksyen 425A RUU tersebut memperuntukkan tatacara untuk keadaan jika tertuduh melarikan diri sebelum atau semasa perbicaraannya selepas dia dipertuduh.

Di bawah seksyen ini, mahkamah dibenarkan untuk meneruskan perbicaraan dan menyelesaikan kes itu tanpa kehadiran tertuduh yang melarikan diri itu.



BACA: Mohd Hafarizam tak mengaku terima wang haram RM15 juta dari Najib

BACA: Bekas penasihat media Najib didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta

Pada Rabu, Bernama melaporkan, Paul Stadlen didakwa ‘in absentia’ di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa kes itu secara in absentia bagi mendapatkan waran tangkap terhadap lelaki warga Britain itu yang dikatakan telah melarikan diri dari Malaysia selepas kekalahan bekas Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.