Seorang bekas kerani syarikat produksi hiburan milik penyanyi popular Datuk Sheila Majid menangis apabila dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM90,000 milik syarikat itu, lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nasimah Kamarudin, 40, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang merupakan seorang ibu tunggal dua anak itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, namun menaikkan wang jaminan daripada RM10,000 kepada RM18,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Zulqarnain berkata kesalahan Nasimah merupakan jenayah kolar putih yang serius dan memberikan kesan negatif kepada sistem kewangan dan perniagaan di negara ini.

"Kesalahan pecah amanah sering kali dilaporkan di media massa. Ini menunjukkan perbuatan ini kerap kali berlaku dan masyarakat tidak serik melakukan kesalahan itu.

"Sebagai orang yang diamanahkan di syarikat kamu bekerja, kamu dengan curangnya telah menggunakan wang syarikat sebanyak RM90,000 untuk kegunaan diri kamu sendiri," kata Zulqarnain sambil menjelaskan mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Nasimah, yang diamanahkan dengan satu buku cek akaun Maybank milik syarikat Magada Entertainment Sdn Bhd, didakwa dengan curangnya telah menunaikan lima keping cek atas namanya dan telah mendepositkan lapan keping cek ke dalam akaun banknya, membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM90,000.

Wanita itu yang ditangkap pada 28 April 2014 didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di No. 32, Jalan Balau, Damansara Heights di sini, antara 1 Nov 2007 dan 28 Mac 2008, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, dengan sebat dan denda.

Pengadu dalam kes ini adalah penyanyi yang terkenal dengan irama muzik jazz dan Rhythm & Blues (R&B) Sheila Majid atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, yang juga pengarah urusan syarikat itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon hukuman penjara tidak kurang daripada tiga setengah tahun dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahannya adalah serius selain memberi pengajaran kepada orang awam.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid mewakili Nasimah, yang bertudung hijau gelap dan berjubah hitam, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan seorang penganggur dan perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Sebanyak empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu termasuk Sheila Majid, pengurus dan pegawai Maybank serta pegawai penyiasat, manakala hanya seorang saksi pembelaan iaitu Nasimah.