KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar segera mengambil alih dan menjalankan siasatan terperinci terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, kes tersebut yang ketika ini disiasat oleh SPRM sendiri telah menimbulkan tanda tanya beberapa pihak, kerana ia bukan hanya sekadar membabitkan salah guna kuasa, tetapi adalah kes jenayah berat.

Berdasarkan kesalahan, Fahmi mendakwa kes tersebut sekurang-kurang melibatkan lima seksyen yang sepatutnya disiasat oleh PDRM, dan bukannya SPRM.

Ia termasuk melibatkan Seksyen 204 Kanun Keseksaan, iaitu membinasakan surat atau bukti bagi mengelakkannya daripada dikemukakan sebagai keterangan, jelas beliau.

"Serta dalam Seksyen 489A melibatkan pemalsuan mata wang kertas, 489B menggunakan matawang kertas palsu dan juga 489C memiliki mata wang kertas palsu; termasuk Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri.

“Maka, sekurang-kurangnya lima kesalahan berlaku yang seharusnya disiasat PDRM bukan SPRM. Tetapi kalau kita lihat kenyataan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, belum ada laporan polis dibuat setakat ini.

“Jadi, saya berharap pihak polis tidak perlu menunggu laporan dibuat tetapi buat laporan sendiri dan mulakan siasatan kerana kita risau apa yang berlaku ini adalah siri pengkhianatan amanah,” katanya pada Sidang Media di Bilik Media Parlimen pada Selasa.

Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

BACA: Siasatan salah guna kuasa, penyelewengan pegawai SPRM perlu diambil alih PDRM - Hussamuddin

SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Mengulas lanjut, Fahmi berpandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki perlu merehatkan diri untuk memastikan tidak ada sebarang unsur campur tangan, sekali gus memastikan integriti proses siasatan berjalan dengan baik.

"Saya juga ada masukkan usul dan harap Speaker akan benar untuk bahaskan esok (Rabu) tetapi paling penting waktu ini ialah isu integriti SPRM mungkin dipersoal.

"Adakah kita sudah sedia dengan keadaan dimana rakyat akan hilang percaya terhadap SPRM? Saya rasa dalam usaha memerangi rasuah, kena pastikan integriti SPRM tidak dipersoalkan," katanya lagi.