Kes pembunuhan tragis dua beranak: Beri ruang pihak polis selesaikan siasatan

Kes pembunuhan tragis dua beranak: Beri ruang pihak polis selesaikan siasatan
Dua kepala dipercayai milik dua beranak itu turut ditemui di siling sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan dua beranak itu. - Gambar fail/Astro AWANI
MELAKA: “Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi memberi keadilan kepada semua pihak."

Demikian tegas Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim mengulas perkembangan pembunuhan kejam dua beranak yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di Kampung Ladang, Krubong di sini, petang khamis lalu.

Beliau berkata, selain lokasi penemuan kedua-dua kepala dua beranak itu, identiti kedua-dua mangsa juga masih belum dapat disahkan susulan khuatir ia mampu menganggu proses siasatan.

“Berilah peluang kita (polis) jalankan siasatan lanjut, saya perlu adil dan saya dah cukup beri penerangan.

“Apabila kes ini siap untuk dituduh, kami akan maklumkan kepada media,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Tragis! Anggota badan dipercayai milik ibu dan anak ditemui


Khamis lalu, Astro AWANI melaporkan Polis menemui lapan bahagian anggota badan manusia dipercayai milik lebih seorang individu yang dibuang ke dalam semak di Kampung Ladang, Krubong.

Kemudian pada Sabtu, suspek warga Singapura yang ada hubungan dengan kedua-dua mangsa di reman selama tujuh hari sehingga jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

Dua kepala dipercayai milik dua beranak itu turut ditemui di siling sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan dua beranak itu.

Mat kasim dalam kenyataan sebelum ini turut berkata pihak tidak menolak kemungkinan anggota-anggota badan yang ditemui berkenaan milik seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya 11 tahun seperti ditularkan.

Difahamkan, proses pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga sejak Sabtu lalu selain sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga telah diambil bagi pengesahan identiti.

Bagaimanapun, usaha petugas media untuk mendapatkan reaksi keluarga gagal apabila keluarga masih berada dalam keadaan terlalu emosi untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.






Tag: suspek, mangsa, siasatan, polis, bunuh, Kampung Ladang, Krubong, Mat Kasim Karim, kepala, dua beranak, bunuh isteri, bunuh anak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.