Polis Selangor menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kumpulan penjenayah bermotosikal yang menyamun di beberapa lokasi sekitar negeri itu.

Bagaimanapun, tarikh dan masa tangkapan tidak didedahkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani kes berkenaan.

"Kita sedang menyiasat dua lelaki ini. Kita akan jalankan siasatan lebih terperinci lagi sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kumpulan-kumpulan yang lain dan kalau dia ada kaitan dengan kumpulan 'Mat Tok' atau sebaliknya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, pada Isnin.

Beliau turut menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu polis mengesan kumpulan penjenayah terbabit.

"Jadi di sini saya memerlukan maklumat-maklumat dan kerjasama orang awam untuk tampil ke hadapan untuk menghubungi pihak kami. Kalau maklumat ini diperolehi, ia akan dapat membantu kami melakukan siasatan. Kita akan tangkap mereka dengan segera," tambahnya lagi.

Polis percaya kumpulan samun bermotosikal itu melakukan rompakan jika ada ruang dan peluang di depan mata mereka.

Khamis lalu, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam hingga lapan lelaki menaiki motosikal yang bersenjatakan parang dengan mencari sasaran yang berada di perkarangan rumah di kawasan sunyi.

Kes pertama dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.15 petang melibatkan mangsa, seorang lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek RM4,300, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang oleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125z.

Kemudian, kira-kira jam 4.05 petang, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara pula cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.