Tutup

Kes rayuan BAFIA Rafizi dan Johari 15 Nov ini

Kes rayuan BAFIA Rafizi dan Johari 15 Nov ini
Mahkamah menetapkan 15 November untuk keputusan rayuan Rafizi Ramli dan Johari Mohamad terhadap sabitan dan hukuman mereka mengikut BAFIA. - Gambar fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 November depan untuk keputusan rayuan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani bank, Johari Mohamad terhadap sabitan dan hukuman mereka mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut mengarahkan semua pihak termasuk Mohd Rafizi dan Johari supaya menyerahkan transkrip hujahan prosiding hari ini kepada mahkamah dalam tempoh 10 hari.
"Mahkamah akan meneliti semula hujahan ini sebelum membuat keputusan," katanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Rafizi, Ahmad Nizam Hamid berkata, ada keterangan daripada saksi pendakwaan iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta dua lagi wartawan sebelum ini tidak boleh diterima kerana tidak mengemukakan dokumen asal.
"Keterangan yang diberikan mereka sebelum ini yang dirujuk sebagai eksibit P4, adalah dengan menggunakan dokumen yang difotostat dan ini tidak boleh terima.

"Mereka mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan dokumen asal tetapi tidak memanfaatkannya dan kami beranggapan pihak pendakwaan gagal sepenuhnya untuk melengkapkan bukti, " katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berkata, bahawa peruntukan undang-undang sedia ada tidak memerlukan pihak pendakwaan bagi mencari dokumen asal.

"P4 ini dokumen unik sebab diperoleh dari saksi pendakwaan yang mana mengakui menerimanya dari lokasi kejadian," kata Tengku Amir Zaki.

Prosiding hari ini turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Permohonan rayuan itu sebelum ini difailkan Mohd Rafizi dan Johari bagi sabitan dan hukuman 30 bulan penjara ke atas mereka kerana didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah BAFIA tujuh tahun lalu.

Mohd Rafizi melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA.

Turut disabitkan kesalahan, Johari, 48, yang didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, kerana bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.

-- BERNAMA


Tag: Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan, BAFIA, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, Johari Mohamad, National Feedlot Corporation, NFC, Mohamad Salleh Ismail



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.