Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 April depan sebagai tarikh mendengar rayuan seorang ejen hartanah yang dikenakan penjara 48 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 623 kesalahan seksual ke atas anak perempuannya pada tahun lalu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam bela, Cyrus Tiu Foo Woei dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), memohon mahkamah memberikan masa bagi pihaknya mendapatkan rekod rayuan perayu daripada pihak penjara.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak, Yong Zarida Sazali pada 8 Sept lalu, menjatuhkan hukuman tersebut selepas bapa kepada tiga anak perempuan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atasnya.

Yong Zarida menjatuhkan hukuman penjara kepada lelaki itu selama 28 tahun kerana melakukan sumbang mahram, serangan seksual fizikal tanpa persetubuhan, mengabaikan dan mendera anak secara seksual sementara tambahan hukuman penjara 20 tahun lagi kerana dakwaan meliwat mangsa.

BACA: Liwat anak kandung: Bapa durjana dihukum penjara 48 tahun, 24 sebatan

Terdahulu, Foo Woei telah dilantik mewakili perayu pada 7 Mac lalu selepas memfailkan rayuan bagi mengurangkan hukuman pada Oktober 2017.

Perbicaraan jenayah seksual ini mendapat liputan luas termasuk media antarabangsa yang melihat ia sebagai kes berprofil tinggi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim turut hadir menyaksikan prosiding sebelum ini.