Seorang wanita berumur 22 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru atas pertuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari lalu.

Tertuduh yang berbaju merah gelap itu menggelengkan kepala dan meminta dibicarakan selepas fakta pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam bahasa Mandarin.

Pertuduhan dibacakan di hadapan majistret, Salina Omar.

Tertuduh Sam Ke Ting, 22 tahun dituduh dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000 selain lesen memandu digantung sekiranya disabit kesalahan.

BACA: Pemandu wanita dalam kemalangan remaja berbasikal, bukan anak kenamaan

Mengikut fakta kes, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Februari 2017 kira-kira jam 3.20 pagi di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru, Johor.

Tertuduh dikatakan telah memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja iaitu Mohamad Azhar Amir (16), Haizad Kasrin (16), Muhammad Firdauz Danish M. Azahar (16), Muhammad Harith Iskandar Abdullah (14), Mohammad Azrie Danish Zukkefli (14), Muhammad Shahrul Izzwan Zzzuraimee, (14), Fauzan Halmijah (13), Muhammad Shahrul Nizam Maruddin (14).

Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh pengurusan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor, manakala tertuduh yang bekerja sebagai juru jual diwakili peguam Faizal Mokhtar dan Bustaman Menon.

Sebelum itu, tertuduh tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan diiringi pegawai polis trafik.

Pada 18 Februari lalu, lapan remaja berbasikal maut di rempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah.

Kejadian itu turut mengakibatkan lapan remaja yang lain cedera.