Sebanyak 10 kejadian simbahan cat dan asid ke atas kenderaan mewah telah dilaporkan kepada Pusat Khidmat dan ADUN Barisan Nasional (BN) Perak di sekitar bandaraya ini sejak Oktober tahun lalu.

Terbaru, kenderaan utiliti sukan (SUV) milik seorang ahli perniagaan yang baru dibeli empat bulan lalu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kangsar, di sini Ahad lalu.

Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, kejadian menyimbah asid itu merupakan pertama kali berlaku.

"Selalu kes-kes begini hanya melibatkan simbahan cat, tetapi tahun ini berlainan kerana melibatkan asid.

"Ini cukup bahaya. Bayangkan sekiranya terdapat orang di kawasan itu dan ada orang di dalamnya, sudah tentu akan mencederakan orang. Kita tidak tahu siapa pelaku atau motifnya, namun individu itu secara terang memang menyasarkan kenderaan mewah," katanya ketika satu sidang media di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh meningkatkan pemantauan dan menahan suspek yang melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

"Saya harap orang ramai juga ambil langkah berjaga-jaga. Jika berlaku kepada mereka, minta tolong laporkan kepada polis kerana sesetengah orang yang datang membuat aduan kepada kami tidak membuat laporan secara rasmi," ujar beliau.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Jason Cheng, 34 tahun, berkata dia hanya menyedari SUV yang diparkir di luar pagar rumahnya disimbah dengan asid di sebelah bonet hadapan dan bahagian kiri kenderaan ketika bangun daripada tidur.

"Saya tidak membuat laporan polis kerana ingat hanya akibat dendam individu tertentu atau tidak berpuas hati kerana isteri saya hampir terlibat dalam kemalangan sebelum kejadiaan berkenaan.

"Namun selepas memuat naik gambar kereta saya di media sosial, rupanya terdapat beberapa orang lagi yang juga mengalami perkara yang sama," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata pihaknya telah menerima dua laporan mengenai insiden simbahan asid.

"Polis pantau perbuatan ini dan usaha mengumpul maklumat sedang dijalankan. Tiada petunjuk daripada pengadu," katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut.