Polis Sarawak menahan suspek keempat kes penipuan pekerjaan yang melibatkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata suspek berusia 25 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga individu dikehendaki, ditangkap sekitar 10 malam pada 5 Mac 2019 di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adrus.

Sekiranya siasatan masih belum selesai dalam tempoh 24 jam, polis akan membawa suspek ke Mahkamah Majistret di Kuching untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ekoran kejayaan tangkapan suspek keempat itu, Mustafa berkata, usaha mengesan dua lagi individu dikehendaki masih dijalankan.

Pada Isnin lepas, Mustafa mendedahkan, polis memburu tiga individu dikehendaki bagi membantu siasatan yang dikenali sebagai Mohd Ghafar Abd Jamal, 26 tahun, Chang Ying Shiong, 25 tahun, dan Lai King Loong, 31 tahun.

BACA: Kes sindiket tipu pekerjaan Kemboja: Suspek warga Malaysia ditangkap

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu dikehendaki ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes ASP Pricha Azin di talian 019-8897640.

Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kes ini.

BACA: Reman suspek kes tipu pekerjaan 47 rakyat Malaysia dilanjut

Kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak, yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu, tiba di tanah air dari Kemboja pada 17 Februari lepas.

Sebelum ini, tiga suspek termasuk seorang wanita kesemua berusia 35 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

BACA: Kes penipuan pekerjaan: Seorang wanita dan lelaki ditahan di Kuching

Namun, ketiga-tiga suspek terbabit dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman selama tujuh hari.