“SRC itu pertubuhan untuk anak-anak yatim! Dia bagi sumbangan!," jerit seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Wanita dari Keramat, Kuala Lumpur itu merupakan antara ribuan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang hadir untuk menyatakan sokongan kepada bekas Presiden UMNO itu.

Walaupun menyedari keputusan mungkin tidak memihak kepada Najib, penyokongnya tetap mengharapkan mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah dalam pertuduhan melibatkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Penulis difahamkan, bukan hanya dari Lembah Klang, malah ramai penyokong datang dari pelbagai lokasi termasuk Seberang Takir, Terengganu dan Sungai Petani, Kedah, menaiki beberapa bas yang disediakan pihak tertentu.

BACA: Kes SRC: Ratusan penyokong Najib berhimpun di depan mahkamah

Jeritan 'hidup Bossku' dan 'Mahathir zalim' - turut berkumandang dalam himpunan mereka, menandakan pada pemahaman mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu perlu dipersalahkan atas nasib yang menimpa Najib.


Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi tujuh pertuduhan di Mahkamah Tinggi berhubung dana berjumlah RM42 juta daripada syarikat SRC International Sdn Bhd dan proses perbicaraan mengambil masa lebih dua tahun, bermula 3 Julai 2018.

Keputusan mahkamah hari ini mendapati beliau bersalah atas kesemua pertuduhan - satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga pertuduhan menyeleweng dana berkenaan.


Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas menyampaikan alasan penghakiman, memutuskan pihak pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kesemua pertuduhan tersebut.

BACA: Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International

BACA: Najib bersalah: Satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia - PH

Mohd Nazlan, alumni Maktab Melayu Kuala Kangsar dan pemegang Sarjana Muda Perundangan serta Sarjana Seni dari Universiti Oxford, memutuskan Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagi tuduhan salah guna kuasa, Najib disabitkan bersalah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Bagi tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), Najib disabitkan bersalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun untuk setiap pertuduhan.

Bagi tiga tuduhan menyeleweng dana SRC International, Najib disabitkan bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun Mohd Nazlan memutuskan kesemua hukuman berjalan serentak, yang membawa maksud Najib harus menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Jika gagal membayar denda dalam masa yang ditentukan, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu perlu menjalani tambahan hukuman penjara selama lima tahun.

Sementara itu, selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak berhubung proses mitigasi, Mohd Nazlan membenarkan penangguhan hukuman, serta membenarkan ikat jamin dinaikkan RM1 juta lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM2 juta dengan dua penjamin.

Selain itu, Najib harus melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan.


Keputusan itu jelas mengecewakan Najib yang membuat kenyataan terbuka mengenai perasaannya itu pada sidang media sebaik keluar dari mahkamah. Beliau turut menyatakan akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

BACA: Kes SRC: 'Saya sangat kecewa' - Najib

BACA: 'Saya teruja untuk bawa kes ini ke Mahkamah Rayuan' - Muhammad Shafee

Selepas sidang media itu, Najib sempat pergi ke pintu pagar utama Kompleks Mahkamah untuk berjumpa dengan penyokong yang masih setia dan berharap untuk melihat kelibat beliau.

Terdahulu, ribuan penyokongnya mula berkumpul di kawasan itu seawal jam 5 pagi.

Ada antara mereka yang datang dari jauh menaiki bas dan kenderaan peribadi selain sanggup bermalam di masjid berhampiran, demi menzahirkan solidariti ke atas pemimpin yang mereka anggap berjiwa rakyat itu.

Jika dilihat dari udara, jumlah mereka yang berkumpul mencecah ribuan orang dan setia menanti tanpa mempedulikan terik matahari, hujan gerimis, dan yang paling kritikal - nasihat penjarakan sosial di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keengganan mereka untuk menjaga jarak antara satu sama lain sewaktu berhimpun memaksa pasukan polis memberi peringatan dari semasa ke semasa sambil mengulangi amaran akan mengambil tindakan lebih tegas.

BACA: Ramai bimbang 'kluster mahkamah', polis ingatkan penyokong Najib tentang penjarakan sosial

BACA: Setiap hari KKM beri nasihat patuh SOP, sedih lihat keadaan begini - KP Kesihatan

Situasi itu bukan sahaja mengundang kemarahan netizen yang khuatir akan ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya, ia juga menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noorhisham Abdullah, yang kecewa mereka seakan-akan memandang sepi usaha keras petugas barisan hadapan sejak Mac lepas.

Keputusan mahkamah hari ini menyaksikan Najib, 67, masih belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan, namun jumlah denda dan hukuman penjara yang diterima menyebabkan beliau tidak boleh lagi bertanding pada pilihan raya seterusnya.

BACA: Najib masih boleh jalankan tugas sebagai Ahli Parlimen