Tiada rekod dalam minit mesyuarat Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berhubung arahan Datuk Seri Najib Razak supaya pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd diluluskan.

Demikian dimaklumkan seorang saksi dalam perbicaraan kes yang melibatkan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada hari ke-17 perbicaraan, hari ini.

Saksi pendakwaan ke-35, Azlida Mazni Arshad, memberitahu mahkamah, beliau tidak hadir ketika Najib menyampaikan hasrat agar perbadanan itu mempercepatkan proses permohonan pinjaman berkenaan.

Azlida, 47 tahun, Naib Presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP menjelaskan perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam pembelaan Harvinderjit Singh.

Dia bersetuju minit mesyuarat panel pelaburan khas pada 19 Julai 2011 hanya menunjukkan permintaan Najib tetapi bukan arahan berhubung kelulusan pinjaman itu.

Malah, minit mesyuarat juga tidak menunjukkan mereka dipaksa oleh Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk meluluskan pinjaman berjumlah RM4 billion kepada SRC International, katanya.

Saksi itu juga bersetuju bahawa panel pelaburan KWAP tidak terikat dengan arahan seseorang atau mana-mana badan dalam membuat kelulusan, meskipun ia datang dari Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Azlida bersetuju panel pelaburan itu boleh menolak pemohonan syarikat terbabit jika mendapati ia tidak menguntungkan.

Malah, katanya, menjadi satu kesalahan jika perkara terbabit dibuat dan ia boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.

Harvinderjit: (Tahukah anda) sekiranya Jabatan Pendapatan Tetap (FID) menyuarakan bantahan terhadap mana-mana pinjaman pinjaman yang dicadangkan oleh dana untuk disambung? Azlida menjawab jabatan itu boleh berbuat demikian.

Harvinderjit: Adakah anda setuju bahawa Panel Pelaburan tidak perlu menuruti arahan perdana menteri atau menteri kewangan? Azlida setuju.

Harvinderjit: Adakah anda setuju bahawa panel pelaburan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau individu dalam perkara berkaitan arahan? Beliau menjawab "Ya".

Harvinderjit: Mereka (KWAP) boleh mengeluarkan arahan untuk menolak permohonan pinjaman sekiranya permohonan pinjaman itu tidak lengkap? Beliau menjawab "Yes."

Harvinderjit: (Adakah) mana-mana anggota panel pada bila-bila masa pernah berkata, mereka tiada pilihan selain meluluskan permohonan kepada SRC itu, yang pastinya akan direkod dalam minit mesyuarat.

Azlida: Kenyataan (seperti itu) tidak terdapat dalam minit mesyuarat.

Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Prosiding bersambung semula esok.

Terdahulu, Najib tiba di mahkamah kira kira jam 9 pagi.

Bagaimanapun, perbicaraan tertunda sejam kerana Ketua Pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah perlu menghadiri sebutan kes pengubahan wang haram membabitkan dirinya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dalam perkembangan berlainan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 6 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes dakwaan pecah amanah Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan RM 6.64 billion.